Memori yang bakal di cipta

“Aku pelajar senior ! !” Itulah antara ungkapan spontan yang aku sebutkan sebaik sahaja aku melangkah masuk sekolah kesayanganku pada tahun ini . Hati ini rasa berkobar-kobar kerana sudah semestinya sesiapa yang pernah bersekolah pasti ingin menjulang gelaran “Senior” , tidak terkecuali juga aku . Tetapi , apabila sudah bergelar pelajar senior ini , bermakna tahun ini merupakan tahun yang terakhir untuk aku menimba ilmu , tunduk hormat dan dan menyarungkan seluar keramat berwarna hijau tua itu . Menyingkap kenangan tahun-tahun sebelum ini sebagai pelajar SMJK Tiong Hua . Walaupun pada hakikatnya aku tidak menyetujui dengan kemasukkanku ke Tiong Hua , tetapi aku percaya bahawa segala yang terjadi mempunyai hikmahnya .

Pada hari pertama sekolah , segala perasaan  gementar dan takut menyelubungi diri kerana aku tidak mengenali sesiapa pun di sini . Tetapi , aku lebih optimis dalam menangani emosi aku dan mula mencari sesiapa yang sesuai di jadikan sahabat . Ibu aku pernah berpesan “ kalau hendak mencari kawan , biar yang baik pekertinya dan sopan budinya.” Itulah nasihat ibuku sebelum aku masuk ke sekolah menengah . Aku terlebih dahulu telah berjumpa dengan kawan daripada pelbagai jenis perangai, perwatakan dan sebagainya . Melalui itulah stratergi untuk memilih kawan lebih efisyen dan lebih teliti agar dapat memberikan faedah kepada diri sendiri dan orang sekeliling , tetapi peribahasa inggeris menyatakan jangan menilai sebuah buku melalui kulitnya . Maka dengan nasihat yang ikhlas daripada ibuku dan berdasarkan pemahamanku tentang peribahasa itu , sekarang aku mempunyai kawan-kawan yang amat ikhlas menerima aku dan ini merupakan sebuah kenangan yang amat bermakna kerana hubungan silaturrahim yang terjalin antara kami amat erat , ibarat isi dengan kuku .Sesungguhnya , Gelak tawa mereka , perselisihan faham , pergaduhan kecil , sakat menyakat dan banyak lagi pasti akan aku rindui setelah tamat “permit” aku sebagai pelajar SMJK Tiong Hua .

Selain sahabat handaiku yang baik-baik belaka , aku juga akan merindui tenaga pengajar yang tidak pernah jemu menabur ilmu kepada kami . Masih segar di peti ingatanku , nasihat salah seorang guru yang amat saya kagumi  , beliau mengatakan “ Shyafiq , kalau belakang parang di asah selalu nescaya akan tajam juga .” Sepotong peribahasa inilah yang mendorong aku untuk melakukan anjakan paradigma kepada diriku . Ikhlas di sudut hati ini , aku memang bakal merindui pekikkan guru-guruku yang bergema di segenap ruang , lawak mereka yang amat mencuit hati dan marah-marah sayang mereka kepada aku dan yang lain . Siapalah aku sebagai seorang murid jika tidak pernah tercakap belakang dan memberontak dalam diam , tetapi pada akhirnya buah hasil yang aku terima amatlah indah . Semua ini berkat daripada marah , teguran , sindiran dan dendaan yang guru-guruku berikan , bertujuan untuk kami mengorak langkah yang positif demi memperbaiki segala kesalahan dan sebagai tanda sayang kepada aku dan kawan-kawanku , ibarat peribahasa , sayangkan isteri tinggal-tinggalkan , sayangkan anak tangan-tangankan .

 Sebenarnya , pemandangan di SMJK Tiong Hua sangat indah dan saya amat bersyukur menjadi pelajar SMJK Tiong Hua kerana sekolah ini dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan yang serba menyegarkan dan landskap yang sedap mata memandang . Pertama kali aku menjejakkan kaki ke sekolah ini , “Kuno” itulah perkataan pertama yang aku ungkapkan disebabkan oleh bangunan papan yang usang , warna dinding yang kusam dan sebagainya . Lama-kelamaan , rasa suka dan cinta kepada sekolah mulai terbit dalam sanubari kerana tak kenal maka tak cinta . Tambahan pula , aku sudah mmempunyai tempat kegemaran yang tersendiri iaitu kantin , tempat itu merupakan tempat yang amat sibuk terutama pada waktu rehat dan keadaan pelajarnya pada ketika itu seperti kambing yang terlepas dari kandang , amat meriah dan sesak . Sememangnya saya pasti akan merindui menu Mee Konlou yang enak itu dan saat-saat genting untuk berebut membeli makanan . Sejujurnya , banyak lagi tempat-tempat yang menarik berada di sekolahku yang serba lengkap ini , antaranya , pondok di bawah pohon gergasi , padang futsal dan sebagainya . Tempat-tempat ini telah menyimpan seribu satu kenangan dan segala memori suka dan duka pasti bakal menggamit kembali , sekiranya aku kembali melawat sekolah ku yang tercinta ini .

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin disini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada kulupa.
           
            Lirik yang dinyanyikan oleh Shila Amzah ini amat menyentuh perasaanku apabila bait-bait lirik itu menggambarkan bahawa sesebuah jalinan perhubungan yang pernah terjalin bersama mungkin bakal terpisah buat sementara tetapi segala kenanangan tak mungkin dapat dilupakan dan terhapus . Aku cuma menyamakan situasi lirik itu dengan situasi yang bakal aku dan kawan-kawan , guru-guru dan semua isi benda yang berada di sekolah bakal berpisah dan hanya tinggal kenangan sebagai pengubat rindu . Saya Cuma berharap , aku dan kawan-kawan ku bakal lulus dengan cemerlang pada peperiksaan SPM tidak lama lagi . Smjk Tiong Hua , aku pasti merinduimu .
[ 0 comments ]